
PADANG SERAI 22 Sept. – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan diminta mewartakan monumen sejarah batu sempadan di Kampung Terat Batu, Mukim Sidam Kanan di sini, sebagai tapak warisan negara.
Ahli Dewan Negara, Senator Boon Som Inong berkata, saranan itu dibuat sebagai usaha memulihara khazanah berkenaan di samping menjadikannya produk baharu pelancongan berunsur sejarah pada masa akan datang.
“Berdasarkan semakan sejarah, batu sempadan ini dipercayai dibina oleh Kerajaan British dan Siam sekitar 1831 iaitu pada zaman penaklukan Kompeni Hindia Timur Inggeris di sini.
“Pembinaan monumen ini juga bertujuan membahagikan kawasan antara negeri Kedah atau Saiburi yang ketika itu di bawah Siam dengan Pulau Pinang yang ditakluki oleh British.
“Selepas beratus tahun berlalu, batu sempadan ini dibiarkan tanpa terurus dan ada di antaranya musnah atau terjatuh ke dalam Sungai Muda,” katanya kepada pemberita ketika melawat monumen tersebut bersama Konsul Jeneral Diraja Thailand ke Pulau Pinang, Voradet Viravakin di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Kedah, Datuk Mohd. Hadzir Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Terat Batu, Marzuki Abd. Rahman.
Boon Som berkata, selain itu, penemuan batu sempadan berkenaan merupakan salah satu bukti penting mengenai kewujudan masyarakat Siam di negara ini sejak beratus-ratus tahun lalu.
“Ini juga bermakna bahawa masyarakat Siam berada di kawasan ini sejak turun-temurun dan mereka adalah bumiputera dan bukannya kaum pendatang atau imigran yang dibawa masuk oleh British sebelum merdeka,” jelasnya.
Voradet pula berkata, pihaknya bersedia menawarkan bantuan daripada segi kepakaran dan khidmat nasihat kepada Kerajaan Malaysia untuk membantu memulihara monumen berkenaan bagi tatapan generasi akan datang.
“Jika diwartakan, saya percaya ia boleh dijadikan produk pelancongan menarik di samping mengukuhkan lagi fakta sejarah bagi kedua-dua negara,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hadzir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas berkata, berdasarkan makluman penduduk setempat, sebelum ini, terdapat lebih lima batu seumpamanya di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, batu berkenaan musnah atau rosak ekoran kegiatan pertanian dan mengorek pasir di pinggir Sungai Muda.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tulisan yang terpahat pada bahagian tengah batu tanda sempadan itu tertulis ayat berhuruf besar British Siamese Boundary diikuti tulisan Thai bermaksud Garis Sempadan Kompeni Bersambung Dengan Siam.
Selain itu, terdapat juga tulisan Jawi yang terpahat pada bahagian bawah batu tersebut, tetapi tidak dapat dibaca dengan jelas kerana mengalami kerosakan.
Sumber Utusan 23 September 2011







1 comment:
Comment puis-je créer une démo pour un modèle dans Joomla?
Post a Comment